Sejarah Sekolah




  Pengasas sekolah ini tidak diketahui namanya kerana tidak dicatatkan. Namun demikian sekolah ini berasal daripada sebuah rumah orang perseorangan yang dijadikan sekolah kecil dalam bentuk pondok.   Didapati sekolah ini mendapat sambutan di luar dugaan. Dengan bantuan penduduk kampung dibina pondok-pondok untuk tempat belajar yang lebih besar dan selesa. Memandangkan sambutan di luar dugaan, pejabat pelajaran telah mengambil alih dan memberikan bantuan penuh daripada kerajaan.
Sekolah ini bermula daripada sekolah pondok yang kecil pada tahun 1914. Ia terletak di dalam kawasan daerah Petaling. Sekolah Kebangsaan Petaling telah dirasmikan oleh D.Y.M.M Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, Sultan Selangor pada 8 Februari 1965 bersamaan 7 Syawal 1384 H.
   Sekolah Kebangsaan Petaling menjadi tumpuan penduduk kampung berdekatan iaitu kawasan perumahan setinggan seperti Kampung Sentosa, Kampung Bohol, Kampung Pinang Tunggal dan Kampung Pasir Dalam. Pada tahun 1978 S.K. Petaling merancang membina surau khas untuk warga sekolah yang beragama Islam mengerjakan ibadah. Surau ini dapat digunakan sepenuhnya pada tahun 1979 dengan menelan belanja sebanyak RM21,000.
                Pada tahun 1979, S.K. Petaling telah mengadakan tayangan perdana untuk mengumpul wang bagi membeli sebuah bas sekolah dan bas tersebut mula digunakan pada tahun 1980. Tembok batu di hadapan sekolah yang dilengkapi pagar untuk keselamatan telah dibina pada tahun 1981 oleh pihak PIBG dengan kos bernilai RM6,000. Pusat Sumber berserta alat pandang dengar telah  dibina pada tahun 1983 dengan kos bernilai RM140,000.
  Pada tahun 1987, S.K. Petaling berpecah kepada dua pentadbiran kerana tidak mampu menanggung murid yang terlalu ramai. Sekolah ini dinamakan S.K.Petaling 1 dan S.K.Petaling 2. Namun bilangan murid-murid pada masa kini telah berkurangan kesan daripada pembangunan kawasan persekitaran yang menyebabkan perpindahan penduduk.
  Pihak sekolah telah membina sebuah blok bangunan baru setinggi 3 tingkat yang terdiri daripada 12 buah bilik darjah dengan dewan terbuka di bawah bahagian bangunan pada tahun 1993/94. Pada tahun 1995 kantin sekolah telah dibesarkan dan mozek telah dipasangkan pada bahagian lantai kantin keseluruhannya. Pada tahun 1998 PIBG membina batu dapur/mozek di bahagian dapur kantin untuk kemudahan memasak dan keselamatan.
Satu lagi bangunan baru tiga tingkat telah dibina pada tahun 2000/2001 dengan kemudahan dewan dibahagian bawah menggantikan bangunan kantin yang dipindahkan di dewan lama.Pada bulan Nov 2002 Dewan ini telah diletakkan mozek dengan pembiayaan sebanyak RM 50,000.00 dari Dato’ Shahrizat bt. Abd Jalil (Menteri Hal Ehwal Wanita marangkap ADUN Lembah Pantai).  Pihak sekolah telah menerima bantuan baik pulih beberapa bilik khas dari Jabatan Perdana Menteri berjumlah RM 260,000 dan telah siap sepenuhnya penghujung tahun 2007.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TQ